Calonkan ‘katak’ pada PRN Melaka akan rugikan PH, kata Waytha

Calonkan ‘katak’ pada PRN Melaka akan rugikan PH, kata Waytha

Penerimaan Presiden PH Anwar Ibrahim terhadap budaya ‘katak’ memalukan demokrasi, kata bekas Menteri Perpaduan Negara itu.

Bekas Menteri Perpaduan Negara P Waytha Moorthy terkejut dengan keputusan PKR dan Amanah mencalonkan individu yang melompat parti pada PRN Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mungkin telah kehilangan kepercayaan ramai dengan keputusannya menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri Melaka, kata bekas Menteri, P Waytha Moorthy.

Waytha, yang menjadi Menteri Perpaduan Negara semasa pentadbiran PH, berkata beliau “terkejut” dengan keputusan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu kerana bersetuju mencalonkan “katak politik” pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Ramai telah hilang kepercayaan terhadap apa yang kononnya PH gelar ‘perubahan’,” kata Waytha di Facebook.

“Agaknya ‘perubahan sebenar’ adalah bekerjasama dengan mereka yang mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat dalam pilihan raya demi kuasa dan wang.”

Waytha merujuk kepada bekas ahli-ahli Umno, Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), iaitu antara empat ADUN Melaka yang menarik balik sokongan kepada Sulaiman Md Ali, yang ketika itu menjadi Ketua Menteri, pada 4 Okt, membuka jalan bagi PRN diadakan.

Pada sidang media semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, gabungan itu menamakan Idris dan Nor Azman sebagai calonnya bagi PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 Nov.

Idris, yang pernah menjadi Ketua Menteri, kini menyertai PKR dan menjadi calon bagi kerusi Asahan, manakala Nor Azman kini ahli Amanah dan akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor.

“Penerimaan Anwar terhadap budaya ‘katak’ memalukan demokrasi,” kata Waytha.

“Jadi apa yang dikecohkan apabila Bersatu membentuk kerajaan pintu belakang pada 2020 dengan Ahli Parlimen PKR dan Umno/PAS yang berpaling tadah?

“Kenapa susah payah bercakap mengenai undang-undang antilompat parti sedangkan anda sendiri merelakan dan memberi pengiktirafan kepada ‘katak’ politik ini?

“Akhirnya, ia bukannya mengenai prinsip atau keadilan. Ia mengenai kesesuaian politik, bukan?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.