Tiada program kementerian sepanjang PRN Melaka, kata Mahdzir

Tiada program kementerian sepanjang PRN Melaka, kata Mahdzir

Perkara itu telah diputuskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri yang pergi ke Melaka untuk tempoh ini hanya atas kapasiti sebagai ahli parti politik yang bertanding, bukannya membawa program kementerian, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebarang program yang melibatkan kementerian tidak akan dijalankan sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka, menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid.

Katanya, perkara itu telah diputuskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Maksudnya kalau menteri turun ke Melaka pun, itu atas kapasiti beliau sebagai ahli parti politik yang bertanding. Bukan turun sebagai seorang menteri yang membawa bersama program kementerian,” katanya.

Mengenai hubungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selepas kedua-duanya bergerak solo, Mahdzir menjelaskan ia tidak menjejaskannya di peringkat persekutuan.

Walaupun Umno tidak bekerjasama di Melaka, beliau yakin ketika ini terdapat persefahaman di peringkat persekutuan yang mengikat ketiga-tiga parti itu untuk kekal menjalin hubungan.

“Kita ada persefahaman di peringkat persekutuan. Walaupun Umno bertanding solo di Melaka, namun masih memiliki hubungan atas nama kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kemas Peringkat Negeri Kedah di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang di sini, hari ini.

Beliau menambah, sehingga kini hubungan antara Ahli Parlimen dari ketiga-tiga parti juga kelihatan langsung tidak mempunyai masalah.

“Setakat ini tak ada apa-apa masalah. Dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu pun, semua yang terlibat turut membuat keputusan secara bersama,” katanya.

Mengulas mengenai peluang Umno untuk memenangi PRN itu, beliau berkata, Melaka secara tradisinya sebelum ini sememangnya berada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau berharap tradisi itu dapat terus menggamit pengundi untuk terus memilih Umno bagi menerajui kepimpinan negeri itu.

“Jadi saya fikir PRN kali ini pun tradisi itu akan kekal kepada BN. Insya-Allah, kita boleh mencapai kemenangan pada 20 November depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.