
Setelah mengharungi sekatan Covid-19 selama lebih 18 bulan, segelintir penggiat industri bimbang kini mungkin terdapat kekurangan pekerja.
Ramai ahli Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura mengadu bahawa mereka menghadapi masalah buruh, menurut presidennya, Wong Teu Hoon.
“Disebabkan wabak dan penutupan sempadan, ramai pekerja asing pulang ke tanah air mereka dan tidak dapat kembali,” katanya kepada FMT.
“Memandangkan ini memberi kesan kepada banyak industri lain, banyak yang mula menyasarkan pekerja-pekerja kami. Ramai ahli kami memberitahu, pekerja asing mereka lari kepada majikan lain.”
Katanya, kekurangan pekerja menyukarkan pemulihan bagi pengusaha yang terjejas.
“Ada antara mereka tidak membuka premis bagi pelanggan makan, ada yang terpaksa meringkaskan menu, malah kami dengar ada yang menolak pelanggan sewaktu masa sibuk kerana tidak dapat memenuhi permintaan.
“Kesannya, mereka lebih rugi pada waktu yang sudah pun sukar.”
Beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem kuota bagi industri ini untuk membolehkan mereka yang memerlukan pekerja mengimportnya.
Seorang veteran industri yang pernah bekerja di restoran-restoran sekitar Lembah Klang dan meminta namanya tidak disiarkan berkata, beliau mendengar bahawa kafe dan bar terutamanya terjejas oleh kekurangan buruh.
“Di sesetengah tempat mewah, ini mungkin tidak menjadi isu. Namun, ia isu lebih besar bagi tempat-tempat yang bergantung kepada pekerja asing,” katanya.
“Ada beberapa kejadian di mana pemilik atau pengurus restoran cuba ‘mencuri’ pekerja daripada restoran lain.”
Menurut sumber lain dalam industri, masalah ini menjadi lebih buruk di kala perniagaan sedang meningkatkan operasi dan cawangan-cawangan baharu dibuka.