PRN awal ‘lindung’ GPS daripada pengundi muda, kata penganalisis

PRN awal ‘lindung’ GPS daripada pengundi muda, kata penganalisis

Penganalisis berkata ia jelas dilihat apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mahu terkesan daripada kehadiran pengundi kali pertama.

Sekiranya PRN diadakan dengan mengehadkan kempen serta akses media kepada pembangkang, ia sebenarnya merupakan ketidakadilan kepada pengundi Sarawak, menurut penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara jelasnya cuba “melindungi” diri daripada pengundi kali pertama di negeri itu, kata seorang penganalisis menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak susulan pembatalan Proklamasi Darurat.

“Dengan mengelakkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik yang mungkin meletakkan harapan lebih tinggi terhadap ahli politik, kerajaan negeri secara jelasnya cuba melindungi parti kerajaan dan 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka daripada menerima kesan pengundi kali pertama ini,” kata Wong Chin Huat kepada FMT.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan pembatalan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Darurat dijadualkan berakhir pada Februari 2022.

Pembatalan Proklamasi Darurat akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lalu.

Wong berkata, sekiranya PRN diadakan dengan mengehadkan kempen serta akses media yang adil kepada pembangkang, maka ia sebenarnya merupakan ketidakadilan kepada pengundi Sarawak, bukannya pembangkang.

“Apabila anda tidak tahu mengenai semua pilihan yang ada, anda tidak dapat membuat pilihan terbaik.

“Walaupun anda memutuskan untuk memilih GPS, namun dengan adanya alternatif, ia memberikan kuasa untuk membuat lebih banyak tuntutan terhadap GPS,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, GPS akan memiliki kelebihan berbanding pembangkang sekiranya PRN itu diadakan tahun ini.

“Ini disebabkan mereka mempunyai Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang akan memberikan momentum dari segi pengundi. Ini sukar diatasi oleh pembangkang di Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.