Polis buru Pengarang Sarawak Report

Polis buru Pengarang Sarawak Report

Clare Rewcastle-Brown dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 Sept 2021.

Pengarang berusia 62 tahun Clare Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Polis hari ini meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk segera tampil membantu polis selepas wanita itu gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, orang yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Terkelas, Junainah M Kasbolah di talian 017-7051222 atau pegawai penyiasat kes, Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.

“Penama dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September 2021,” katanya.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.