
Menerusi Bajet 2022 yang diumumkan di Parlimen Jumaat lepas, sejumlah RM20 juta dicadangkan untuk industri e-sukan, termasuk RM5 juta bagi membina pusat kecemerlangan sukan dron.
Selain itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mencadangkan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah wang yang dimenangi dalam kejohanan e-sukan yang layak.
Pengarah Komunikasi Persekutuan e-Sukan Malaysia (MESF) Muhammad Farouq Abdul Patah berkata, kerajaan perlu telus mengenai cara peruntukan itu akan dibelanjakan.
“Itu kebimbangan kami. Kadang-kadang ia bukannya mengenai jumlah, tetapi bagaimana ia akan digunakan,” katanya kepada FMT.
“Kami (MESF) juga tertanya-tanya bagaimana dana yang diberikan oleh kerajaan bagi industri e-sukan sejak 2019 telah dibelanjakan. Perlu ada juga ketelusan dalam perkara itu.”
Industri e-sukan diperuntukkan RM15 juta tahun ini, iaitu peningkatan RM5 juta daripada Bajet 2020. Peruntukan yang diberikan pada 2019, yang pertama buat industri itu, adalah RM20 juta.
Di sebalik keraguannya mengenai ketelusan dalam penggunaan dana daripada belanjawan sebelumnya Farouq berkata, beliau gembira industri itu akan menerima peruntukan yang besar pada 2022, sesuatu yang tidak dijangka kerana terdapat sektor sukan lain yang turut memerlukan perhatian daripada kerajaan.
Beliau juga berkata, MESF serta atlet e-sukan negara dalam kejohanan “The International 10” (TI10) gembira dengan cadangan pengecualian cukai pendapatan untuk hadiah wang daripada kejohanan yang layak.
Pasukan pemain profesional Dota Malaysia, yang diketuai oleh Cheng Jin Xiang, 20, baru-baru ini memenangi USD5,202,400 (RM21.6 juta) dengan menduduki tempat kedua dalam kejohanan TI10.
Kerjaya dalam e-sukan
Pengasas bersama MUDA Tarmizi Anuwar berharap pengiktirafan kerajaan buat industri e-sukan dengan peruntukan besar dalam Bajet 2022 akan menggalakkan belia mempertimbangkan untuk meneroka kerjaya dalam industri itu.
“Pada pendapat saya, pengecualian cukai pendapatan adalah bagus, terutamanya dalam menggalakkan belia menceburi kerjaya dalam bidang e-sukan,” katanya kepada FMT.
“Sokongan kerajaan buat e-sukan akan membantu meningkatkan kesedaran tentang sektor yang memainkan peranan penting dalam pasaran pekerjaan.”
Tarmizi, yang juga pengurus pasukan pemain profesional Dota 2, “Gagak Dota 2” berkata, kerajaan bukan sahaja perlu membelanjakan wang untuk kejohanan, tetapi juga membantu membina bakat dari akar umbi dan mengembangkan kemahiran pemain sedia ada.
“Selain itu, kami mahu atlet dan jurulatih peringkat amatur didedahkan kepada kursus dan latihan.
“Jika ada geran disalurkan kepada persatuan e-sukan, jumlahnya perlu dimaklumkan kepada persatuan dan atlet mereka supaya mereka tahu cara memohonnya,” katanya.