
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan komuniti di Chow Kit, Kuala Lumpur, berkata, selain tidak mempunyai kad pengenalan atau pasport, ramai yang tidak mempunyai telefon pintar, justeru tidak dapat menggunakan aplikasi mySejahtera.
Pengasas Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM) Elisha Kor Krishnan memberitahu FMT, ia adalah antara sebab mereka memulakan program vaksinasi sendiri dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi populasi “tersembunyi” ini.
Mereka setakat ini berjaya mendaftarkan dan memberi vaksin kepada kira-kira 520 orang, termasuk warga asing.

Ini termasuk 400 yang datang untuk vaksinasi dari 21 Okt hingga 26 Okt di pusat PKKUM. NGO itu membantu 120 lagi, yang mengetahui nombor kad pengenalan atau sijil kelahiran mereka, mendaftar bagi mendapatkan janji temu vaksinasi melalui MySejahtera.
Elisha berkata, beliau menyedari masalah yang dihadapi golongan ini ketika menjalankan aktiviti dapur amal sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020.
“Kami bertanya sama ada mereka telah diberi vaksin atau berdaftar untuk mendapatkan vaksin. Ramai yang kata tidak. Jadi kami memutuskan untuk membantu mereka mendapatkan vaksin,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan individu tidak bernegara dan tidak berdokumen yang meminta bantuan dilahirkan di bawah jambatan kepada ibu bapa yang tiada tempat tinggal atau penagih dadah, atau di rumah-rumah sewa murah, kepada ibu bapa yang tidak berdokumen.
“Kami tidak dapat mencari bukti untuk mengatakan mereka dilahirkan di Malaysia supaya kami boleh membantu mereka mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Masniza Mustaffa daripada Mercy Malaysia, yang juga penyelaras kesihatan bagi program itu berkata, komuniti ini kekurangan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan.
“Kesedaran tentang kesihatan wujud, tetapi keadaan yang dihadapi menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan perubatan,” katanya kepada FMT.
“Dari segi pemerkasaan terdapat banyak NGO dan dapur amal yang bekerja secara khusus dengan populasi ini. Jadi mereka diperkasa tetapi mungkin tiada cara untuk pergi ke sana, termasuk tiada pengangkutan untuk pergi ke klinik.”
Beliau berharap Mercy Malaysia dan NGO seperti PKKUM dapat menghubungi baki individu yang ketinggalan daripada program vaksinasi kebangsaan memandangkan kebanyakan orang dewasa di Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur telah menerima vaksin.