
“Ia hanya retorik” memandangkan kerajaan gagal menunjukkan kesungguhan dengan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2), kata Rosli kepada FMT.
Dalam debat baru-baru ini dengan pemimpin DAP Lim Guan Eng, Wee berkata, tujuan dasar kabotaj adalah untuk melindungi kedaulatan Malaysia dan industri perkapalan tempatan, tetapi Rosli bertanya: “Bagaimana dengan KVDT2, yang terhenti selepas beliau menjadi Menteri Pengangkutan?”
Rosli berkata, KVDT2 penting bagi kepentingan Malaysia dan penangguhannya menjejaskan syarikat tempatan, pekerja dan ekonomi secara keseluruhannya.
Projek itu berdepan pertikaian undang-undang berikutan penamatan kontrak oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini, dengan Wee juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan.
Pertikaian itu menyebabkan projek tersebut tertangguh dan menjadikan sebahagian daripada rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak selamat.
Rosli berkata, Lembah Klang memerlukan perkhidmatan komuter yang beroperasi pada tahap optimum bagi menyokong perkhidmatan ulang-alik dan kargo.
“Kerja-kerja pembinaan mengakibatkan pengurangan kapasiti perkhidmatan dan kelewatan dalam perkhidmatan kereta api menyebabkan penumpang beralih kepada mod pengangkutan lain,” katanya, selain menambah bahawa terdapat penurunan drastik dalam penggunaan perkhidmatan KTM sejak 2015, iaitu apabila projek KVDT bermula.
“Saya sememangnya sangat terkejut kerajaan tidak menyedari fenomena nyata ini berkait dengan proses pemmbuatan keputusannya.”
Rosli berkata, Wee mesti menyedari akibat penangguhan KVDT2 kepada KTMB seperti kehilangan hasil daripada penumpang dan kargo.
“Perkhidmatan kereta api yang tidak boleh dipercayai akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadapnya,” kata beliau.
“Jika mereka beralih kepada mod pengangkutan lain seperti membeli kereta sendiri, maka sukar untuk mereka kembali kepada pengangkutan awam.
“Lebih banyak kereta di jalan raya menimbulkan masalah lain yang berkait dengan kesesakan lalu lintas, termasuk kehilangan produktiviti, peningkatan kos sara hidup dan pelepasan karbon.”
Beliau menggesa kerajaan mendapatkan nasihat perunding bebas mengenai projek KVDT2.