Seni kolam ubah hidup anak yatim

Seni kolam ubah hidup anak yatim

Ruben Prakash Anthony Albert mula mempelajari seni ini ketika berusia 15 tahun dan kini memperoleh pendapatan daripada rekaannya.

Ruben Prakash Anthony Albert menyiapkan sebuah kolam 3D berukuran 35 kaki x 25 kaki di The Gardens Mall.
PETALING JAYA:
Ruben Prakash Anthony Albert tidak pernah menyangka akan menceburi bidang seni kolam sebagai kerjaya ketika beliau mula mempelajari asasnya pada usia 15 tahun.

Cintanya terhadap seni itu bermula ketika beliau membesar di sebuah rumah anak yatim di Puchong, katanya.

“Ada seorang guru dari India yang mengajar kami semua di rumah anak yatim cara membuat kolam asas,” katanya kepada FMT.

Ruben mula menyertai pertandingan kolam di sekolah, dan di peringkat pengajian tinggi, beliau memilih jurusan Reka Bentuk Profesional dalam Komunikasi Visual di Universiti Limkokwing bawah biasiswa penuh.

Pengajiannya di sana membawa kemahirannya ke tahap baharu, katanya.

“Saya menghasilkan karya seni kolam secara sambilan semasa saya belajar, memandangkan syarikat-syarikat acara mula mengupah saya selepas melihat hasil kerja saya di Facebook,” katanya.

“Ia adalah cara yang bagus untuk mendapatkan wang saku.”

Kolam 3D rekaan Ruben Prakash Anthony Albert di Gardens Mall menampilkan Purna-Kumbha, elemen penting dalam agama Hindu.

Setelah bekerja di bahagian pengiklanan di universiti itu selama tiga tahun, beliau membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada seni ini dengan menubuhkan S4SKY Rangoli Kolam Malaysia.

Syarikat yang ditubuhkannya kira-kira 10 tahun lalu itu, ketika beliau berusia 25 tahun, biasanya menerima tempahan untuk membuat kolam bagi majlis-majlis perkahwinan, pelancaran korporat, serta acara khas lain.

Beliau menerima permintaan di peringkat global, seperti dari Singapura, Australia dan India, namun apabila wabak Covid-19 melanda, perniagaannya mula merosot.

“Tiada acara diadakan ketika wabak pertama kali melanda negara,” katanya.

“Semuanya dibatalkan dan saya hanya terperangkap di rumah. Ia benar-benar masa yang sangat sukar.”

Bagaimanapun, keadaan mula bertambah baik dalam tempoh kira-kira setahun kebelakangan ini.

Bagi sambutan Deepavali tahun ini, Ruben menerima banyak permintaan saat akhir daripada pusat beli-belah dan agensi kerajaan.

“Perniagaan saya berkembang sebanyak 60% berbanding tahun lepas, terutamanya pada minggu terakhir sebelum Deepavali,” katanya.

“Pendapatannya tak sama seperti yang diperoleh sebelum Covid-19, tetapi saya harap keadaan akan mula bertambah baik tahun depan.”

Pandangan dari atas kolam 3D rekaan Ruben Prakash Anthony Albert di Gardens Mall.

Ruben juga memberi tumpuan kepada mendorong generasi artis kolam seterusnya. Beliau telah memberi tunjuk ajar kepada lima anak muda dari rumah anak yatim tempat beliau dibesarkan.

“Ini cara saya memberi kembali kepada rumah anak yatim itu dan masyarakat,” katanya.

“Saya harap lebih ramai belia akan belajar kemahiran ini. Saya mahu kekalkan tradisi ini dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa mereka boleh mencari rezeki melaluinya.”

Beliau berharap keluarga-keluarga akan menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang tersebut.

Matlamat utamanya, kata Ruben, adalah untuk menubuhkan sekolah kolam.

Reka bentuk kolam berwarna-warni hasil kerja tangan Ruben dapat dilihat di pusat beli-belah seperti Midvalley Megamall dan The Gardens Mall, selain beberapa pejabat kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.