
Beliau berkata, Majlis Presiden PH sedang memuktamadkan senarai calon, selepas ketiga-tiga parti iaitu PKR, Amanah dan DAP, menyerahkan senarai calon mereka sebelum ini.
“Sekarang kita dalam proses memuktamadkan senarai akhir calon PH. Jadi semua parti sudah mengemukakan nama dan sebahagiannya hampir dimuktamadkan, dan saya fikir selepas dari itu kita akan muktamadkan dalam konteks Majlis Presiden PH,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Ditanya mengenai nasib dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan, Adly berkata, perkara itu juga sedang dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH.
“Yang paling penting yang kita lihat sekarang ini, fokus kita adalah di peringkat PH, di peringkat nasional yang akan membuat keputusan muktamad.
“Sama ada bukan sahaja melibatkan satu atau dua orang, tetapi ia melibatkan calon kita secara keseluruhan dari PH,” katanya.
Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata perkara itu masih lagi dibincangkan dalam kalangan parti komponen PH.
Selain PKR, DAP dan Amanah, PH turut dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.