
Penduduk Selangor berusia 47 tahun yang mahu dikenali sebagai Andy itu berkata, anaknya dilahirkan di Malaysia pada 2005. Disebabkan Andy tidak berkahwin dengan ibu anak itu, seorang warga Indonesia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkannya sebagai bukan warganegara.
Andy mendaftarkan perkahwinannya di JPN pada 2006. Pada Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan remaja itu adalah anak lelaki Andy yang sah dari tarikh perkahwinannya.
Bagaimanapun, semasa perbicaraan permohonan kewarganegaraan remaja itu Jumaat lepas, mahkamah sama memutuskan dia mesti mengikut kewarganegaraan ibunya memandangkan statusnya yang tidak sah taraf ketika dilahirkan.
“Anak saya menetap di Malaysia sejak lahir, tetapi dia kekal (dengan status) tidak bernegara,” kata Andy kepada FMT.
“Bagaimanakah kehidupannya nanti? Dia tak dapat bekerja dan menikmati sebarang manfaat sebagai warganegara. Dia tiada pasport, jadi dia tak pernah ke luar negara.
“Dia tiada masa depan. Di hadapannya hanya ada kegelapan.”
Peguam Andy, Jasmine Wong, memberitahu FMT bahawa keputusan mahkamah Shah Alam itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang penting pada Mei, di mana permohonan kewarganegaraan seorang budak lelaki berusia 10 tahun ditolak kerana statusnya yang tidak sah taraf ketika lahir.
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa budak lelaki itu, yang dilahirkan kepada bapa warga Malaysia dan ibu warga Filipina, tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia kerana ibu bapanya berkahwin lima bulan selepas kelahirannya.
Ketika menyampaikan penghakiman, hakim Rohana Yusuf, yang juga Presiden Mahkamah Rayuan berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, anak tidak sah taraf akan mengikut kewarganegaraan ibunya.
“Ini adalah alasan yang sama digunakan bagi kes Andy,” kata Wong.
Tambahnya, permohonan kewarganegaraan itu juga ditolak kerana mahkamah Shah Alam memutuskan Andy tidak dapat membuktikan anaknya bukan warganegara lain.
Surat yang disediakan oleh kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur hanya menyatakan bahawa anak lelaki itu tidak didaftarkan dalam sistem pangkalan data pasportnya.
Bawah Perkara 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, kewarganegaraan boleh diberikan kepada sesiapa yang dilahirkan di Malaysia yang tidak mendapat kewarganegaraan mana-mana negara asing dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelahirannya.