
Ongkili berkata, parti itu menyokong Undi18 tetapi tidak bersetuju dengan pendaftaran pengundi automatik.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, keputusan sebulat suara telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini, mengenai perlunya SPR memberikan taklimat bagi Ahli Parlimen serta ADUN Sabah.
“Memandangkan daftar pemilih Sabah tercemar, seperti dibuktikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di sini, kami mengalu-alukan pendaftaran golongan berusia 18 tahun sebagai pengundi tetapi tidak secara automatik,” katanya dalam kenyataan.
“Justeru, kami mahu SPR memberi taklimat kepada semua wakil rakyat mengenai langkah berjaga-jaga yang akan diambil bagi memastikan hanya rakyat sejati Sabah didaftarkan sebagai pengundi.”
Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pendaftaran golongan berusia 18 tahun sebagai pengundi, serta pendaftaran pengundi automatik, dijangka dilaksanakan pada Disember.
Wan Junaidi berkata, SPR masih mengenal pasti dan meneliti penyelesaian untuk pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran pengundi automatik.
“SPR komited melaksanakannya, selewat-lewatnya 30 Dis 2021,” katanya.
Berhubung daftar pemilih Sabah yang “tercemar” Ongkili berkata wujud bukti mengenai pengundi hantu, seperti dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
“Kebanyakan pengundi hantu ini mempunyai kad pengenalan sahih namun diperolehi secara meragukan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata, PBS juga masih belum berjaya menetapkan tarikh bagi membincangkan perkara itu dengan SPR persekutuan dan negeri.
“Kami berharap SPR akan memanggil kami untuk taklimat tidak lama lagi dan memberi jaminan bahawa daftar pemilih dibersihkan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya.