
Nagaenthran, yang disabitkan kesalahan mengedar 42.72g diamorfin (heroin) pada 2011, dijangka dihukum pada 10 Nov.
Mengulas kenyataan Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) semalam sebagai respons terhadap desakan awam yang meluas terhadap pelaksanaan hukuman mati yang dirancang itu, LFL berkata, penjelasan itu tidak memberi justifikasi bagi pelaksanaan hukuman mati ke atas individu dengan ketidakupayaan mental.
Penasihat LFL N Surendran berkata, kumpulan itu “terkejut dengan separuh kebenaran dan dakwaan mengelirukan” yang terkandung dalam kenyataan kementerian itu.

“Pertama sekali, MHA bergantung kepada fakta bahawa mahkamah Singapura mendapati ‘tanggungjawab mental Nagaenthran ke atas jenayahnya tidak terjejas’, justeru tiada siapa yang patut membantah hukuman gantung ini,” kata Surendran dalam kenyataan.
“Bagaimanapun, MHA sengaja mengetepikan fakta bahawa mahkamah juga mendapati Nagaenthran mengalami masalah fungsi intelektual sempadan dan ADHD, mempunyai skor FSIQ 69, dan kemahiran fungsi eksekutifnya terjejas.
“Kedua, dakwaan MHA bahawa mereka telah membantu keluarga dengan urusan perjalanan adalah palsu.
“Umum mengetahui bahawa logistik yang kompleks dan kos yang tinggi sedang diuruskan oleh aktivis terkemuka Singapura, Kirsten Han. Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) hanya berkomunikasi dengan keluarga (tertuduh) apabila Han bertanyakan kepadanya.
“SPS tidak mengambil inisiatif untuk membantu keluarga ini dalam mengatasi masalah berhubung perjalanan dan penginapan.”
Menyifatkan hukuman mati yang akan dilaksanakan itu sebagai “tidak berperikemanusiaan”, Surendran mengulangi bahawa hukuman sebegitu terhadap seseorang yang mempunyai sebarang jenis ketidakupayaan mental atau intelektual melanggar undang-undang lazim antarabangsa.
Semalam, MHA berkata, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Singapura berpendapat bahawa tanggungjawab mental Nagaenthran atas kesalahannya tidak terjejas dengan ketara.
Dia didapati faham dengan jelas bahawa apa yang dilakukannya adalah jenayah dan mengambil “risiko terhitung” untuk membayar hutangnya.
Sementara itu, Wisma Putra berkata, ia akan terus memantau perkembangan kes Nagaenthran melalui suruhanjaya tinggi di Singapura dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada dia dan keluarganya.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, beliau juga telah menghantar surat kepada rakan sejawatannya di Singapura berhubung kes itu.