Kalau sains dah tolak Ivermectin, maka hormati sajalah, kata Ahli Parlimen

Kalau sains dah tolak Ivermectin, maka hormati sajalah, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini menggesa kerajaan membenarkan penggunaan segera ubat antiparasit itu pada Julai.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan tidak mengesyorkan Ivermectin digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 susulan hasil kajian dijalankannya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan Ivermectin dalam rawatan pesakit Covid-19, berkata semua orang mesti menghormati sains dan penyelidikan di sebalik keputusan KKM untuk tidak mengesyorkan penggunaan ubat berkenaan dalam rawatan Covid-19.

Selepas selesai ujian keberkesanan Ivermectin ke atas pesakit berisiko tinggi Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata KKM mendapati tiada perbezaan ketara dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-ray dada.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, salah seorang yang sebelum ini menggesa penggunaan ubat itu di Dewan Rakyat pada Julai, berkata “kita perlu menghormati keputusan itu”.

“Saya rasa kita kena ikut sains. Sekiranya ini keputusannya, maka inilah keputusan yang negara mesti ikut dan patuh,” kata ahli PKR itu kepada FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, ketika dihubungi turut senada dengan Sim.

“Sains dan data sudah buktikan. Sekiranya KP (Hisham) kata ia tidak akan disyorkan, maka kita perlu terima,” kata Johari.

Beliau berkata, gesaan awal mengenai penggunaan Ivermectin dibuat atas dasar terdesak, didorong dengan situasi Covid-19 yang begitu teruk ketika itu.

“Keadaan hampir tidak dapat dikawal (pada Julai). Banyak kematian, kemasukan ke hospital, kes meningkat dengan pantas, dan tidak banyak yang dilakukan.

“Pada ketika itu, terdapat laporan dari banyak negara, seperti negeri tertentu di India, bahawa (Ivermectin) mungkin berkesan. Memandangkan ubat itu bukan baharu, kita tahu ia tidak menimbulkan bahaya serius pada manusia.

“Pertikaian kita pada masa itu adalah orang ramai meninggal dunia tanpa ubat, dan ini adalah satu alternatif.”

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 27 Julai, dua Ahli Parlimen itu bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu (Kota Raja), Khalid Samad (Shah Alam), Sivarasa Rasiah (Sungei Buloh), William Leong (Selayang) dan P Prabakaran (Batu), mendesak Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Adham Baba, membenarkan penggunaan segera Ivermectin.

Leong semalam memberitahu FMT, beliau akan mengkaji penemuan laporan KKM itu, dengan menambah beliau telah mendengar mengenai keberkesanan ubat itu di dalam dan luar negara daripada beberapa individu.

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad turut mengalu-alukan hasil kajian KKM itu, yang dijalankan mengikut prinsip “perubatan berasaskan bukti” dan berdasarkan data yang dikumpul melalui ujian klinikal rawak.

Katanya, kajian itu “menyokong dan selari penemuan lain (di peringkat antarabangsa)”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.