
Kata Kumar, 38, ini adalah Deepavali pertama disambut keluarga mereka bersama selepas ibunya yang bekerja sebagai jururawat di Timur Tengah telah beberapa tahun tidak mendapat cuti pada musim perayaan itu.
“Kini, beliau ingin menebus masa dengan membuat muruku bersama kami setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian,” katanya kepada FMT di rumahnya di Setia Alam.
Ibunya, Santa S Sinnappan, 64, berasa sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang untuk meraikan Festival Cahaya itu selepas sedekad.
“Kami dapat membeli-belah bersama-sama di Brickfields, membeli barangan lazim, termasuk pakaian baharu, biskut dan makanan,” katanya.
Keturunan campuran keluarga ini juga menjadikan sambutan lebih istimewa bagi mereka.

Santa berbangsa Cina, tetapi diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga berbangsa India sejak lahir. Beliau kemudian mengahwini ayah Kumar, K Mahalingam.
“Ibu saya kini bergurau beliau lebih ‘India’ berbanding saya,” kata Kumar, merujuk kepada perkahwinannya kepada Wong Hui Lynn, 36, baru-baru ini.
“Kami akhirnya dapat mendaftarkan perkahwinan kami pada 6 Sept selepas terpaksa menangguhkannya ketika pelbagai perintah kawalan pergerakan dan sekatan sepanjang tahun lalu.
Wong teruja mendapat peluang menikmati pengalaman Deepavali sebenar pada tahun ini bersama keluarga baharunya.
“Saya pernah menziarahi rakan-rakan ketika Deepavali, tetapi tak pernah benar-benar dapat rasa pengalaman ini sepenuhnya.
“Saya sentiasa meminati budaya India dan dahulu banyak menonton drama Tamil di TV2.
“Jadi, pengalaman membuat persiapan (bagi Deepavali) sepanjang tiga ke empat minggu lalu sangat menyeronokkan,” katanya.

Pagi ini, mereka akan memakai pakaian baharu dan mengunjungi kuil sebelum menikmati tose buatan Santa untuk sarapan pagi.
Pada sebelah malam, keluarga Wong akan makan malam bersama mereka, menikmati hidangan seperti sambal udang, kari kambing, rendang ayam, beriani, ayam masak kurma, dal dan tose.
“Kami sangat menantikan saat ini kerana ini kali pertama keluarga saya akan dapat makan bersama ibu mentua saya ketika Deepavali,” katanya.