
Dengan menyatakan ujian percubaan I-tech dijalankan mengikut prinsip “perubatan berasaskan bukti” dan berdasarkan data yang dikumpul melalui ujian klinikal rawak oleh KKM, Dzulkefly menambah, ia “menyokong dan selari penemuan lain (di peringkat antarabangsa)”.
“Ujian hipotesis muktamad seperti TOGETHER (ujian percubaan Ivermectin di tiga negara) dan kajian I-tech adalah penting dalam menentukan sama ada sesuatu kaedah rawatan itu akan dimasukkan dalam garis panduan rawatan peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” katanya kepada FMT.
“Bukan ujian percubaan penjanaan hipotesis yang tidak dijalankan dengan baik, yang menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pengamal dan orang ramai.”
Dzulkefly turut menyangkal dakwaan seorang doktor, yang kliniknya diserbu pihak berkuasa kerana membekalkan Ivermectin kepada pesakit, bahawa kajian KKM itu tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai keberkesanannya untuk pencegahan dan rawatan awal.
Dalam kenyataan kepada FMT malam tadi, Dr Amir Farid Isahak berkata, kajian itu hanya tertumpu kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital dan ia tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenai keberkesanan Ivermectin sebagai pencegahan dan rawatan awal bagi kes Covid-19 Kategori 1 dan 2 ringan.
Mengulas pendirian Amir, Dzulkefly berkata, kajian direka bentuk dan dijalankan bagi persoalan penyelidikan khusus dengan hipotesis primer spesifik, yang dikatakan sebagai “asas percubaan klinikal”.
“Kajian I-tech direka untuk persoalan penyelidikan tertentu,” katanya.
“Jika ada penemuan positif dalam objektif atau hipotesis sekunder, anda mesti menjalankan ujian percubaan lain dengan objektif dan hipotesis primer yang spesifik.”
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, berdasarkan hasil kajian itu, KKM tidak mengesyorkan Ivermectin dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana tidak mengurangkan risiko penyakit teruk akibat Covid-19.
Beliau juga mengingatkan pengamal perubatan supaya tidak mengesyorkan atau menjual Ivermectin untuk rawatan Covid-19 “sehingga terdapat lebih banyak bukti saintifik yang kukuh”.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang sambil menyeru kumpulan “pro-Ivermectin menerima penemuan berkata, ia konsisten dengan ujian percubaan serupa di Brazil dan Argentina, selain akhirnya menunjukkan Ivermectin tidak disyorkan untuk rawatan Covid-19.