Program Yayasan Peneraju dirangka untuk hadapi dunia pasca Covid-19

Program Yayasan Peneraju dirangka untuk hadapi dunia pasca Covid-19

Yayasan Peneraju menawarkan program menaik taraf dan melatih semula kemahiran bakat Bumiputera yang berkualiti dan relevan, disediakan dengan kerjasama pemain industri.

PETALING JAYA:
Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera 2022 memfokus kepada program menaik taraf dan melatih semula kemahiran bakat Bumiputera bagi membentuk tenaga kerja yang lebih bersedia dan kekal relevan dalam dunia pasca Covid-19.

Menerusi kerjasama rapat dengan pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain, Yayasan Peneraju menyediakan program latihan yang berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran penerima faedah – amat penting dalam ekosistem negara yang sedang dipulihkan daripada pandemik Covid-19.

“Untuk 2022, Yayasan Peneraju akan meneruskan program-program sedia ada serta meluaskan penawaran program-program mengikut permintaan pasaran dan industri,” katanya kepada FMT.

“Selain itu, penempatan pekerjaan menjadi keutamaan Yayasan Peneraju dengan pendekatan ‘Train & Place’ ataupun ‘Place & Train’ untuk memastikan mereka memperoleh pekerjaan setelah tamat program.”

Peserta program “Dynamic Position Officer” akan mendapat pensijilan yang diakreditasi daripada Nautical Institute of London.

Kelainan Yayasan Peneraju adalah ia mengisi jurang permintaan industri dengan merangka program dan menawarkan individu yang berpotensi.

Antara program pembiayaan skil berkemahiran dan berimpak tinggi adalah “Dynamic Position Officer” yang mensasarkan pelaut yang memegang Sijil Kekompetenan Deck Kelas 1,2, atau 3 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia. Peserta program ini akan mendapat pensijilan yang diakreditasi daripada Nautical Institute of London.

Program “Specialist in CAD/CAM – Advanced Computer Numerical Control and Manufacturing” pula menyasarkan golongan tenaga kerja mahir yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang rekabentuk 3D.

“Peserta program akan memperoleh pensijilan Solidworks daripada Dassault Systemés, AS setelah tamat program serta berpeluang meraih tangga gaji yang lebih tinggi terutamanya dalam industri aeroangkasa, automotif, minyak dan gas, telekomunikasi dan perubatan,” katanya.

Program “Welding Inspector Level 1 & 2” menyasarkan golongan bekerja atau tidak bekerja berumur yang mempunyai pengalaman kerja dalam bidang berkaitan. Peserta program masing-masing akan memperoleh sijil CSWIP 3.0 dan 3.1 daripada The Welding Institute.

Yayasan Peneraju melahirkan lebih 40,000 individu terlatih menerusi lebih 350 program pembiayaan yang merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera.

Program “Oil & Gas Talent Acceleration (Scaffolding Level 3)” pula akan melengkapkan peserta dengan modul dan sijil berkaitan bidang perancah termasuk “Certificate of Competency Advance Scaffolding Competency Training for Tubular and Modular Types”, “Authorised Entrant and Standby Person for Confined Space” (AESP), “Basic Rigging And Slinging” (BRS), dan “Oil & Gas Safety Passport” (OGSP).

“Program ini dapat memberi nilai tambah baik dalam bidang minyak dan gas serta memberi peningkatan kerjaya kepada peserta untuk menjadi penyelia, pengurus projek atau pengurus pembinaan,” tambahnya.

Turut ditawarkan ialah “System Integration in Automation & Robotics” dengan pensijilan daripada SIEMENS. Program ini akan menjadi platform kepada para graduan dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan elektronik yang berumur dari 20 hingga 40 tahun.

Yayasan Peneraju komited untuk merealisasikan aspirasi lebih ramai modal insan Bumiputera agar mereka terus kekal relevan dan berdaya saing.

Yayasan Peneraju memaklumkan objektif program-program seperti di atas adalah untuk menyumbang kepada peningkatan jumlah Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi yang diiktiraf industri dan antarabangsa.

“Yayasan Peneraju akan sentiasa komited untuk merealisasikan aspirasi lebih ramai modal insan Bumiputera agar mereka terus kekal relevan, berdaya saing dan memperoleh pendapatan tinggi,” katanya.

Yayasan Peneraju merupakan agensi bawah Jabatan Perdana Menteri yang diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi, dan spesialis.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak ditubuhkan, Yayasan Peneraju melahirkan lebih 40,000 individu terlatih menerusi lebih 350 program pembiayaan yang merangkumi pelbagai segmen kumpulan Bumiputera termasuk kumpulan B40, M40, luar bandar dan terpinggir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.