PdPR banyak bantu, tapi bersemuka lebih baik, kata guru di Sabah

PdPR banyak bantu, tapi bersemuka lebih baik, kata guru di Sabah

Beberapa guru berkata, selain kerja yang bertambah, mereka juga risau dengan perkembangan pelajaran anak murid mereka.

Masalah akses internet menjadi cabaran terbesar warga pendidik di Sabah untuk menjalankan PdPR, menurut seorang guru sekolah rendah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Guru di Sabah mengakui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) banyak membantu ketika tempoh pandemik, namun pembelajaran secara bersemuka dilihat lebih baik serta berkesan, terutama di kawasan luar bandar.

Beberapa guru ketika dihubungi FMT berkata, selain bebanan kerja yang bertambah susulan pelaksanaan PdPR, mereka juga risau dengan perkembangan pelajaran anak murid masing-masing.

Seorang guru sekolah rendah di pedalaman yang enggan dikenali berkata, walaupun pemantauan berterusan dibuat ke atas anak muridnya, namun dia tetap risau mereka akan ketinggalan kerana cara PdPR dengan belajar secara bersemuka sangat berbeza.

Katanya, hampir semua anak muridnya berjaya menjalani PdPR pada setiap hari tetapi apa yang berlaku sebenarnya di rumah ketika PdPR tidak diketahui.

“Ya, mungkin mereka berjaya menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan, walaupun kami mengajar dan memberi penjelasan secara maya ketika PdPR, tapi sejauh mana pemahaman anak-anak murid ini?,” soalnya.

Ujarnya, aktiviti PdP secara bersemuka sekurang-kurangnya membolehkan guru memantau murid secara mental dan fizikal.

Seorang lagi guru sekolah rendah yang juga bertugas di pedalaman berkata, masalah akses internet menjadi cabaran terbesar mereka untuk menjalankan PdPR.

“Apabila ada murid yang tidak dapat mengikuti PdPR pada satu-satu masa, kami sangat risau. Ya, sudah pasti kami akan membuat susulan tetapi kami masih risau mereka akan ketinggalan terutama murid yang mempunyai masalah, bukan saja internet tetapi juga gajet,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Lillian berkata, tempoh PdPR yang agak lama sedikit sebanyak telah menjejaskan pelajaran anak-anaknya.

Katanya, sebelum ini dia sangat mengambil berat dengan PdPR anak-anaknya tetapi apabila ia berlarutan agak lama, perkara itu menjadi semakin menyusahkan.

Sabah kini berada di Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan pembukaan sekolah dilakukan secara berperingkat mengikut ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.