Najib dibenar lawat anak perempuan, cucu di Singapura

Najib dibenar lawat anak perempuan, cucu di Singapura

Mengikut perancangan awal, Najib sepatutnya berlepas pada 3 Nov dan kembali pada 20 Nov.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak dibenar mendapatkan sementara pasport antarabangsanya untuk ke Singapura bagi melawat anak perempuan dan cucu lelaki yang baru dilahirkan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan sekali lagi membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Singapura bagi melawat anak perempuan dan cucu lelaki yang baru dilahirkan.

Hakim Kamaludin Md Saad membenarkan pindaan permohonan itu bagi membolehkannya bertemu Nooryana Najwa bermula 21 Nov hingga 5 Dis depan.

Mengikut perancangan awal, Najib sepatutnya berlepas pada 3 Nov dan kembali pada 20 Nov.

Peguamnya Muhammad Farhan Shafee memberitahu mahkamah bahawa Najib ditugaskan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengurus pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

Farhan turut memaklumkan bahawa tiga hakim Mahkamah Tinggi minggu lalu membenarkan pelepasan sementara pasport Najib untuk membolehkannya ke Singapura pada 21 Nov hingga 5 Dis.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim berkata, pihaknya tidak membantah pindaan permohonan itu.

Kamaludin bertanya sama ada pihak pendakwaan telah membaca alasan yang diberikan oleh Najib dalam afidavitnya dan Shafiq menjawabnya secara afirmatif.

“Kami percaya, memandangkan pihak pendakwaan tidak membantah pelepasan pasport ini, mereka pasti telah meneliti permohonannya (Najib),” kata Kamaludin bersama dua lagi hakim, iaitu Nordin Hassan dan Hashim Hamzah.

Kamaludin kemudiannya mengingatkan Najib supaya memulangkan pasport itu ke mahkamah pada 6 Dis.

Najib tampil di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula dokumen perjalanannya kerana mahkamah terbabit mendengar rayuannya berhubung sabitan dan hukuman kes SRC International enam bulan lalu.

Sehingga kini, Mahkamah Rayuan masih belum membuat penghakiman.

Tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Mahkamah lebih rendah turut membenarkan permohonan isteri Najib, Rosmah Mansor bagi mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk melakukan perjalanan ke Singapura.

Katanya, beliau ingin memberi sokongan mental dan emosi kepada Nooryana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.