PRN Melaka: DAP kemuka 5 calon baharu

PRN Melaka: DAP kemuka 5 calon baharu

Senarai calon akan dimuktamadkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, selepas Deepavali, selain akan diumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Setiausaha DAP Melaka Damien Yeo Shen Li, berkata bagi kerusi Pengkalan Batu, berkemungkinan ada penyandang dari kerusi lain yang akan bertanding di kerusi terbabit. (Gambar Bernama)
MELAKA:
DAP Melaka akan mengetengahkan lebih lima muka baharu sebagai calon dan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan kerusi membabitkan penyandangnya yang mungkin digugurkan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Setiausaha DAP negeri, Damien Yeo Shen Li, berkata bagaimanapun ia akan ditentukan oleh pimpinan DAP Pusat.

“Ada kemungkinan untuk penyandang digugurkan, mungkin ada yang tidak mahu bertanding. Semua itu adalah kemungkinan… tetapi apa-apa pun kita serahkan kepada pucuk pimpinan DAP Pusat untuk tentukan.

“Dan sudah tentu pada masa ini Pengkalan Batu adalah kerusi kosong … tetapi ada kemungkinan ada penyandang (dari kerusi lain) yang akan pergi ke sana bertanding,” katanya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, senarai berkenaan akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, selepas Deepavali dan akan diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Yeo juga memaklumkan sebanyak 18 borang penamaan calon telah dibeli pihaknya bagi PRN berkenaan.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), DAP menang di lapan kerusi yang ditandinginya iaitu Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, dan Bemban.

Pada Mac tahun lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee, bertindak keluar DAP dan menyatakan sokongannya terhadap Perikatan Nasional (PN), menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pimpinan Ketua Menteri Adly Zahari tumbang.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada 29 Okt lalu dilaporkan, berkata daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, PKR akan bertanding di 11 kerusi, Amanah sembilan dan DAP, lapan kerusi.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lalu, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.