Ambil tindakan ibu bapa tinggal anak dengan pengawal keselamatan, polis diberitahu

Ambil tindakan ibu bapa tinggal anak dengan pengawal keselamatan, polis diberitahu

Pengurusan kondominium berkata pasangan itu dirakam CCTV bertengkar dengan pengawal keselamatan kerana didakwa gagal menjaga anak mereka.

Polis sepatutnya menyiasat kes berkenaan dan ibu bapa tidak sepatutnya meninggalkan anak mereka dengan orang asing, menurut Hannah Yeoh.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri Hannah Yeoh menggesa polis mengambil tindakan terhadap pasangan ibu bapa kepada anak yang ditinggalkan di bawah jagaan pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Sentul, minggu lalu.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, polis boleh menggunakan Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan denda RM20,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya terhadap sesiapa yang mempunyai dalam jagaannya seorang kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan atau terdedah dengan cara yang mungkin menyebabkannya kecederaan fizikal atau emosi.

Dalam satu hantaran tular di Facebook, pengurusan kondominium berkenaan berkata, pasangan suami isteri yang juga penyewa itu dirakam CCTV bertengkar dan memaki hamun pengawal keselamatan selepas mendakwa gagal menjaga anak mereka yang ditinggalkan di meja pos pengawal berkenaan.

“Polis sepatutnya menyiasat perkata ini. Ibu bapa tidak sepatutnya meninggalkan anak mereka dengan orang asing walaupun orang yang mereka kenali, perlu ada pemantauan,” Yeoh memberitahu FMT

Beliau bersetuju bukan tugas seorang pengawal keselamatan untuk menjaga kanak-kanak.

Dalam kenyataan di Facebook, pihak pengurusan kondominium itu berkata, tugas menjaga anak tidak dinyatakan dalam skop tugas kawalan keselamatan.

Kenyataan itu juga mendakwa penyewa tersebut cuba melakukan kekerasan fizikal terhadap pengawal keselamatan terbabit selain memberitahu pihak polis sudah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Presiden Persatuan Pembangunan dan Latihan Keselamatan (Stadam) Khirudin Tajudin berkata, fakta kes itu tidak jelas.

“Tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata, insiden berlaku seperti kes sebelum ini pada Disember lalu, yang menyaksikan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh diserang seorang lelaki yang tidak berpuas hati anaknya tidak dibenarkan menggunakan kolam renang yang ditutup kepada orang ramai ketika itu.

Pengawal terbabit meninggal dunia Ogos lalu dan keluarganya mendakwa bahawa kematiannya adalah akibat daripada serangan pada Disember itu. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Khirudin berkata, kejadian sedemikian menunjukkan bahawa kerajaan perlu meluluskan undang-undang memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pengawal keselamatan, merujuk kepada kelulusan Rang Undang-Undang Industri Keselamatan Swasta (Pindaan) di Singapura bulan lalu, yang meningkatkan penalti bagi mereka yang mengganggu, menyerang atau mencederakan pengawal keselamatan dalam menjalankan tugas mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.