
Video berdurasi 7 minit 30 saat bertajuk “The Thief” (Pencuri) itu turut dipuji kerana mengetengahkan kesulitan pelajar daripada keluarga B40 untuk mengikuti kelas dalam talian sepanjang wabak Covid-19.
Video berkenaan turut menunjukkan bagaimana golongan belia yang terdesak dapat diselamatkan dan dijauhkan daripada kegiatan jenayah jika masyarakat meluangkan masa membantu mereka mengharungi masa-masa sukar.
Taylor’s University berkata, skrip video itu tiada kaitan dengan insiden Plaza Low Yat pada 2015 yang mencetuskan pergaduhan selepas seorang pemuda berusia 22 tahun dituduh mencuri telefon pintar di pusat barangan digital itu.
Bagaimanapun, ramai yang terkenang kejadian itu setelah menonton video yang menceritakan bagaimana kehidupan seorang pelajar berubah setelah ditangkap mencuri telefon atas budi baik seorang pekedai.
Penonton membuat perbandingan dan spekulasi mengenai nasib individu yang didakwa mencuri di Plaza Low Yat satu ketika dahulu jika dia diberi peluang yang sama seperti pelajar dalam video tersebut.
“Klip (video) ini benar-benar mencetuskan inspirasi. Suspek dalam kejadian di Plaza Low Yat mungkin dapat dibantu menjadi insan lebih baik, berbanding apa yang perlu dia lalui,” kata seorang penonton, Somasundram.
“Namun lazimnya, masyarakat tidak mempertimbangkan punca insiden membabitkan perbuatan delinkuen., sementara keluarga B40 yang tertekan sentiasa menjadi mangsa.”
Kisah yang diceritakan dalam video ini bermula apabila seorang pekedai menangkap Raju, seorang pelajar miskin, mencuri sebuah telefon pintar.

Pekedai itu, yang hanya dikenali sebagai “Uncle”, mahu melaporkan kejadian ini kepada polis, tetapi Raju merayu agar dia dilepaskan.
“Saya perlu telefon pintar untuk hadiri kelas (dalam talian). Keluarga saya hanya ada satu (telefon pintar) milik ayah saya. Dia bekerja dari pagi hingga malam, jadi saya tak dapat hadiri kelas pada waktu siang,” kata Raju kepada Uncle.
Kisah Raju tidak asing bagi pelajar luar bandar semasa wabak Covid-19 melanda negara apabila kebanyakan pembelajaran dan pengajaran diadakan secara dalam talian.
Setelah mengetahui dilema dihadapi Raju, Uncle menawarkan untuk meminjamkan telefon kepadanya dengan syarat pelajar itu hanya menggunakannya di kedai. Melihat kesukaran Raju belajar dengan hanya menggunakan telefon, Uncle kemudian turut meminjamkannya fon kepala dan komputer riba.
Uncle memberitahu Raju: “Ramai orang yang kurang bernasib baik dalam komuniti kita berhenti belajar disebabkan kemiskinan dan hilang minat.
“Mereka akhirnya terlibat dalam kegiatan jenayah dan menjadi samseng. Hanya pendidikan yang baik dapat menyelamatkan komuniti kita, ia sangat penting.”
Atas budi baik Uncle, Raju akhirnya menjadi usahawan yang berjaya dan membantu pelajar lain dengan membuka sebuah pusat pembelajaran menjadi inspirasi kepada individu lain yang berjaya dalam komunitinya untuk membantu orang lain.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Taylor’s University Ben Foo berkata, video itu menggambarkan pelbagai kisah pelajar, guru dan ibu bapa yang menggembirakan sejak 18 bulan lalu ketika wabak Covid-19 mengganggu pembelajaran buat lima juta pelajar Malaysia.
Penerbit video itu juga mendapat ilham daripada laporan pada 2018 mengenai kumpulan B40 “yang berkata, ramai pelajar berbangsa India dalam kategori ini tercicir daripada sekolah”.
Tahun lalu, video sempena Deepavali terbitan Taylor’s University bertajuk “Curious Kumar” (Kumar yang Serba Ingin Tahu) mendapat lebih sejuta tontonan di semua platform media sosial.
“The Thief” boleh ditonton di saluran YouTube Taylor’s University.