Ubah sikap supaya dapat bersara dengan selesa, rakyat digesa

Ubah sikap supaya dapat bersara dengan selesa, rakyat digesa

Untuk bersiap sedia bagi persaraan, seseorang perlu menyimpan lebih banyak atau bekerja lebih lama, kata perancang kewangan.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein sebelum ini mendedahkan hanya 3% pencarum KWSP mampu bersara.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia tiada pilihan selain menyimpan lebih banyak atau menjadi lebih produktif dari segi ekonomi pada lewat usia untuk memastikan mereka mempunyai wang yang cukup untuk hari tua, kata seorang perancang kewangan.

Lee Khee Chuan, seorang perancang kewangan berlesen dengan 26 tahun pengalaman berkata, untuk bersiap sedia bagi persaraan, seseorang perlu menyimpan lebih banyak atau bekerja lebih lama.

“Cara lain adalah terus bekerja dan menjadi produktif dari segi ekonomi untuk mengurangkan tahun persaraan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein bahawa hanya 3% pencarum KWSP mampu bersara.

Nurhisham berkata, menjelang akhir tahun ini, 54% daripada pencarum KWSP berusia 54 tahun akan mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka.

Majoriti yang mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka apabila mencapai usia 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun, tambahnya.

Kata Lee, orang ramai perlu mengubah minda dan sikap dalam merancang persaraan.

“Sikap baharu mengenai persaraan haruslah memastikan diri sihat dari segi fizikal, aktif dan produktif dari segi kewangan selama mungkin,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mula berfikir untuk bekerja sambilan atau berniaga untuk menjana pendapatan tambahan bagi menjamin persaraan yang selesa.

“Ada banyak peluang pekerjaan dengan masa fleksibel dalam talian. Seseorang dapat bekerja secara bebas dengan menawarkan perkhidmatan penterjemahan atau penulisan,” katanya.

Seorang lagi perancang kewangan, Kam Geik Guan berkata, jika usia persaraan tidak dilanjutkan, maka orang ramai perlu mencari jalan alternatif untuk menambah pendapatan selepas bersara.

“Dalam ekonomi ini, pasti ada jalan untuk menggunakan kelayakan, kemahiran dan pengalaman anda untuk memasarkan diri. Walaupun pada usia 60 tahun, dengan kesihatan yang baik, saya percaya seseorang individu itu mampu menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berharap kerajaan akan meningkatkan usia persaraan daripada 60 tahun kepada 63 atau 65 tahun berikutan laporan bahawa kebanyakan orang tidak cukup dana persaraan.

Kam berkata, cadangan ini bagaimanapun mungkin tidak disukai oleh segelintir yang tidak mahu bekerja selepas usia 60 tahun.

“Di samping itu, sesetengah orang muda mungkin tidak menyukainya kerana tidak sabar-sabar untuk mengambil alih jawatan tinggi tertentu. Jawatan-jawatan berkenaan tidak akan tersedia sehingga warga emas bersara,” katanya.

Beliau berkata, perancangan persaraan bersifat sangat peribadi, jadi setiap orang perlu bertanggungjawab untuk mula merancang dan mengambil langkah proaktif untuk menyimpan dan melabur.

“Bayar diri anda dahulu dengan menyimpan dan melabur, sebelum anda mula berbelanja. Pastikan ada pelindung kecemasan buat sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan jika berlaku krisis,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Pulau Pinang K Veeriah menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk mewujudkan skim perlindungan sosial hari tua.

Beliau mencadangkan peratusan nominal daripada cukai yang dikutip diketepikan dalam tabung pencen itu atau sebagai alternatif disalurkan kepada KWSP yang boleh merangka beberapa sistem pengagihan saksama bagi pekerja yang telah bersara.

Katanya, sehingga langkah proaktif sedemikian dilaksanakan, negara akan menyaksikan populasi yang meningkat usia tanpa jaminan kewangan hari tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.