
Ahli Parlimen Sipitang itu berkata, ia adalah isyarat jelas yang menunjukkan bahawa pelabur mungkin khuatir mengenai cukai khas “one-off” ke atas syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Bagaimanapun beliau berkata, keadaan itu juga memberi ruang kepada pelabur yang ingin membuat pelaburan jangka panjang untuk mendapatkan harga lebih kompetitif bagi saham yang ada.
“Kita ambil maklum semalam penurunan sebanyak RM33.8 bilion atas reaksi kepada perkara tersebut (ia) mungkin isyarat jelas yang mereka mungkin agak risau tentang keadaan Cukai Makmur ini.
“Tetapi ramai juga penganalisis menyatakan mereka yang tinggal (keluar) itu adalah ‘market player’ (pemain pasaran) bersifat jangka pendek,” katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang bertanyakan terhadap reaksi pelabur susulan cadangan Bajet 2022 itu.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 Jumaat lalu mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Makmur secara sekali gus ke atas syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Katanya, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Hafez berkata, kerajaan dijangka meraih pendapatan lebih RM3 bilion hasil daripada pengenalan cukai berkenaan.
Bagaimanapun, Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota kajiannya menjangkakan negara mampu meraih sekurang-kurangnya RM8.5 bilion hasil tambahan menerusi Cukai Makmur.
Ketua Penyelidikannya, Kenny Yee berkata, berdasarkan pengiraan Rakuten, sekurang-kurangnya 120 syarikat akan dicukai di bawah cukai khas itu.
Mengulas lanjut, Yamani berkata, kenaikan 9% kepada 33% di bawah Cukai Makmur adalah berpatutan memandangkan syarikat yang dikenakan cukai itu masih mencatatkan keuntungan tinggi dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19.
“Kerajaan juga akan laksanakan secara adil dan tidak mensasarkan kepada industri atau sektor tertentu sahaja,” katanya.