
Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) berkata, kewujudan dua jawatan berkenaan membolehkan Hisham menumpukan kepada hal berkaitan kawal selia dan urusan berkait hospital manakala satu lagi jawatan ketua pengarah memfokus kepada pengurusan kesihatan awam.
Beliau berkata, ini kerana keupayaan sektor kesihatan untuk bertindak sangat terhad dan kewujudan jawatan baharu ini mampu memperkasakan lagi kesihatan awam.
“Berdepan cabaran penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, sistem penyampaian kesihatan memerlukan reformasi, antaranya kita perlu buat bagi perkasakan kesihatan awam paling tidak mesti bahagikan untuk tangani kesihatan awam oleh seorang ketua pengarah baharu di samping ketua pengarah (sedia ada) yang menjaga aspek ‘regulatory atau hospital based’,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu beliau menegaskan, reformasi kesihatan awam juga sangat penting memandangkan banyak kajian sudah dibuat sejak 80-an mengenai kesihatan awam tetapi negara masih menggunakan sistem penyampaian yang lapuk.
Beliau turut merujuk kajian terbaru bertajuk, “Projek Reformasi Sistem Kesihatan di Malaysia” oleh Harvard School of Public Health pada 2017.
“Sudah terlalu lama kajian ini dibuat dan kita masih menggunakan sistem penyampaian lama. Kita perlu garap semula (sistem kesihatan) bagi perkasakan sektor kesihatan awam,” katanya.