
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Anuar Othman berkata, polis menahan suspek lelaki berusia 34 tahun itu pada Jumaat selepas penemuan rangka wanita berusia 31 tahun berkenaan, Rabu lalu.
Anuar berkata, hasil soal siasat dia mengaku bergaduh dan memukul mangsa sehingga mati ketika berada di sebuah rumah.
“Dia kemudian membawa polis ke lokasi mangsa ditanam dan dipercayai telah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.
“Motif kejadian dipercayai cemburu kerana kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan orang lain hingga berlaku pertelingkahan,” katanya menurut laporan Bernama.
Anuar berkata suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 1 hingga 6 Nov depan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bedah siasat terhadap mayat wanita tersebut telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mengetahui punca kematian, namun belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Katanya, suspek turut didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.