
Hakim perbicaraan Azman Abdullah menjatuhkan hukuman selepas mendengar hujahan peguam mereka dan keterangan impak mangsa daripada keluarga Zulfarhan.
“Bagi tertuduh yang didapati bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, anda dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh penahanan pada 2017,” katanya.
Terdahulu, mahkamah mensabitkan enam penuntut terbabit, iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.
Azman turut menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap 12 lagi penuntut UPNM yang didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.
“Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap 12 orang tertuduh di bawah Seksyen 330,” katanya.
Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Amer Hamzah Arshad berkata, enam tertuduh menyesal dengan perbuatan yang dilakukan terhadap Zulfarhan.
“Jika mereka ada kuasa untuk berpatah balik ke masa lalu, mereka akan menggunakannya. Tetapi (kematian Zulfarhan) telah pun berlaku dan kini mereka terpaksa menerima akibatnya.
“Pihak pembelaan memohon belas ihsan mahkamah dalam kes ini supaya mengenakan hukuman penjara antara 10 dan 12 tahun serta memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh penahanan mereka pada 2017,” katanya sambil berkata tertuduh ditahan di Sungai Buloh.
Pasukan pembelaan turut disertai peguam lain, iaitu Ranjit Singh Dhillon, AG Kalidas, Hazizah Kassim, M Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.
Kamu masih muda, perbuatan kamu seperti penjenayah tegar, kata hakim
Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman menyifatkan perbuatan mereka yang mencederakan dan menyebabkan kematian Zulfarhan sebagai perbuatan “penjenayah tegar”.
“Anda akan menjadi pesalah muda tetapi perbuatan anda seperti penjenayah tegar.
“Saya tumpang sedih dengan ibu bapa kamu atas apa yang kamu buat. Jika tidak, kamu akan jadi pegawai tentera hari ini.”
Hakim berkata berdasarkan gambar bedah siasat yang dikemukakan, beliau tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung Zulfarhan pada 22 Mei 2017.
Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa mayat Zulfarhan ditemui dengan 90 kesan melecur akibat ditekap dengan seterika panas.
“Sebagai manusia biasa, kita pasti akan rasa sakit bila tersentuh seterika panas.
“Dalam kes hari ini, ada banyak kesan seterika pada mayatnya. Saya tidak tahu bagaimana dia melaluinya. Kalau kamu (orang kena tuduh) sayang dia, kamu tak akan tekap dia dengan seterika,” kata Azman.
Sementara itu, ketika membacakan keterangan impak mangsa kepada mahkamah, ibu mangsa Hawa Osman, berkata keluarga mereka amat terkesan kerana terlalu sedih dengan kematiannya.
“Saya mengalami masalah katarak pada 2018 kerana sentiasa menangis apabila teringatkan kematiannya.
“Selepas pemergiannya, saya trauma untuk benarkan anak-anak lain menyertai badan beruniform atau agensi lain,” katanya.
Hawa berkata keluarga mereka berharap mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap enam tertuduh yang didapati bersalah atas dakwaan menyebabkan kematian dan 12 lagi yang disabitkan tuduhan menyerang anaknya.
“Saya harap kejadian ini tidak berlaku kepada keluarga lain. Dia adalah anak sulung dan sering menceriakan kami sekeluarga. Walaupun dia sudah tiada sejak lebih empat tahun lalu, namun saya tidak akan melupakannya,” katanya.
Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros memberitahu wartawan bahawa keluarga mereka bersyukur dengan keputusan itu.
“Saya ingin memberitahu kepada semua di luar sana bahawa tidak ada sesiapa pun yang patut dibuli.
“Disebabkan dibuli, saya kehilangan anak lelaki saya,” katanya.
Zulkarnain berkata pihak pendakwaan telah memaklumkan keluarga itu bahawa mereka akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan dakwaan bunuh terhadap enam tertuduh itu.