Tengku Zafrul terlepas ‘peluang emas’ bawa perubahan, kata pakar ekonomi

Tengku Zafrul terlepas ‘peluang emas’ bawa perubahan, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata, menteri yang bukan ahli politik itu sepatutnya dapat membuang elemen politik dalam bajet.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bajet 2022 disifatkan sepatutnya menjadi “peluang keemasan” untuk membawa perubahan nyata, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram, sementara seorang Ahli Parlimen menganggap cadangan belanjawan sepatutnya dikenakan lebih banyak pemantauan.

Jomo, pakar ekonomi dan bekas penasihat kerajaan berkata, sebagai belanjawan prapilihan raya, Bajet 2022 sepatutnya satu peluang untuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz – yang bukan Ahli Parlimen – mengurangkan elemen politik dalam belanjawan kerajaan.

Beliau turut menggesa kerajaan bergerak ke arah sistem percukaian lebih progresif yang mencukai pendapatan dan kekayaan, bukan penggunaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam forum sama menggesa pemantauan bajet lebih baik menerusi jawatankuasa pilihan khas bagi memastikan perbelanjaan lebih berkesan.

“Mereka sepatutnya dapat memanggil pegawai Kementerian Kewangan atau kementerian lain yang berkaitan, bagi menyediakan laporan pelaksanaan pelbagai perkara yang dilihat penting,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa terbabit juga mesti diperkasakan untuk memberi peluang kepada organisasi sivil dan ahli akademik menjawab soalan berkaitan dengan bajet.

Beliau memberikan sebagai contoh, Pejabat Bajet Kongres yang menerbitkan ulasan bebas mengenai pelbagai inisiatif bajet.

Jomo dan Ong bercakap dalam panel diskusi dalam talian mengenai bajet, anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.