Stesen LRT sediakan mesin layan diri Braille, mudahkan pembeli kurang upaya penglihatan

Stesen LRT sediakan mesin layan diri Braille, mudahkan pembeli kurang upaya penglihatan

Mesin berciri Braille itu memaparkan bintik-bintik yang timbul di bawah minuman dipamerkan, membolehkan golongan kurang upaya penglihatan membeli sendiri minuman mereka.

Seorang pengguna mencuba mesin layan diri dengan kemudahan Braille di sebuah stesen LRT di ibu kota.
PETALING JAYA:
Pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) mungkin perasan mengenai kewujudan mesin layan diri dengan ciri unik di beberapa stesen berkenaan baru-baru ini.

Mesin berciri Braille berkenaan memaparkan bintik-bintik yang timbul di bawah minuman dipamerkan, seterusnya membolehkan golongan kurang upaya penglihatan membeli sendiri minuman mereka.

Ia hasil kerjasama antara Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), bersama operator mesin layan diri makanan dan minuman, Atlas Vending (AV).

Mesin itu turut termasuk plet Braille, lampu penunjuk dan arahan audio dicetuskan pergerakan.

Ketua Pemasaran AV Amy Gan berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memperbaiki kemudahan yang ditawarkan untuk mereka yang berkeperluan khas bagi memudahkan akses untuk golongan berkenaan serta memberikan mereka pengalaman lebih baik dalam membuat pembelian.

“Butiran seperti kepantasan arahan audio serta warna lampu penunjuk adalah penting untuk membantu kami memperbaiki reka bentuk fizikal dan ciri perisiannya,” katanya dalam kenyataan bersama MAB.

Sebanyak 11 mesin layan diri Braille diletakkan di stesen LRT di Lembah Klang, termasuk di Brickfields di mana MAB beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif George Thomas berkata, AV menyasarkan untuk mendidik dan mewujudkan peluang sama rata bagi golongan kurang upaya penglihatan.

“Orang ramai tidak menyedari bahawa tanpa teknologi, golongan kurang upaya penglihatan berdepan pelbagai kesukaran melakukan perkara mudah yang tidak dihadapi individu biasa. Ini termasuk membeli minuman dalam tin tanpa memerlukan bantuan sesiapa,” katanya.

AV turut menderma RM10,000 kepada kempen Covid-19 MAB yang bertujuan membantu masyarakat kurang upaya penglihatan terutama mereka yang mungkin kehilangan kerja akibat pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.