Mohamaddin nafi letak jawatan ADUN Segama

Mohamaddin nafi letak jawatan ADUN Segama

Beliau membuat penjelasan itu selepas tular surat peletakan jawatan yang didakwa ditandatanganinya di media sosial.

Mohamaddin Ketapi berkata, beliau hanya mengumumkan peletakan jawatan, tetapi tidak hantar surat letak jawatan ADUN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi yang keluar dari parti Warisan menafikan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama seperti tular di media sosial.

Beliau turut menafikan menandatangani surat bertarikh 30 Okt seperti yang tular di media sosial.

“Saya tidak ada hantar surat peletakan jawatan sebagai ADUN bertarikh itu.

“Tarikh 30 hari bulan, saya hanya mengumumkan peletakan jawatan. Saya nafikan sekeras-kerasnya, saya tiada tandatangan surat bertarikh 30 hari bulan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mohamaddin juga memaklumkan, beliau menyedari surat itu ditularkan di media sosial namun tidak mengendahkannya.

“Saya sudah tahu sejak ditularkan, tetapi saya tidak peduli kerana saya tiada tandatangan,” tegasnya lagi.

Sebelum itu, tular surat bertajuk peletakan jawatan serta-merta beliau sebagai ADUN di negeri Sabah.

Surat yang kononnya ditandatangan Mohamaddin menyatakan bahawa selaras dengan ikrar kesetiaannya kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), beliau menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan sebagai ADUN dengan serta-merta.

Mohamaddin menjadi wakil rakyat ketiga yang mengumumkan keluar dari Warisan. Sebelum ini, ADUN Sindumin, Yusof Yaakob dan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir bertindak keluar daripada Warisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.