
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, LHDN mendakwa Zaidi, dikenali sebagai Addy Kana, gagal memfailkan penyata cukainya bagi tahun 2018 dan 2019.
Zaidi dikatakan berhutang cukai berjumlah RM418,028 pada 2018 dan RM1 juta pada tahun berikutnya.
LHDN mendakwa, notis taksiran bagi dua tahun terbabit dihantar pada 7 Mac ke alamat terakhir Zaidi yang diketahui dan notis itu tidak pernah dikembalikan kepada LHDN menunjukkan bahawa ia telah disampaikan.

Zaidi dan dua pegawai polis ditahan bawah POCA tahun lepas atas dakwaan terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian.
Seorang lagi ahli perniagaan, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, turut ditahan bawah akta sama.
Mahkamah Persekutuan membebaskan Zaidi dan pegawai polis terbabit awal tahun ini selepas memutuskan penahanan mereka dilakukan dengan niat jahat.
Bagaimanapun, Goh masih ditahan di pusat tahanan Simpang Renggam selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan penahanannya bawah POCA. Beliau memohon semakan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
Kerajaan juga sedang berusaha melucut hak dana yang disimpan dalam akaun syarikat Zaidi (Nine Nine International Sdn Bhd) dan isterinya, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff.
Akaun-akaun itu dibekukan oleh pihak berkuasa tahun lepas kerana didakwa merupakan hasil aktiviti perjudian dalam talian haram dan perdagangan mata wang kripto.