Laporan penuh siasatan bomba lemas diketahui 2 minggu lagi

Laporan penuh siasatan bomba lemas diketahui 2 minggu lagi

Pengarah JBPM Melaka Abu Bakar Katain berkata 13 pegawai dan beberapa orang awam yang terlibat dalam operasi itu telah dirakam percakapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata, siasatan dalaman di peringkat JBPM negeri siap minggu lepas. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Laporan penuh mengenai kematian pegawai bomba Mohd Diya Che Jusoh yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh, akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata, siasatan dalaman di peringkat JBPM negeri siap minggu lepas, manakala siasatan akhir melibatkan pegawai kanan dari ibu pejabat JBPM Putrajaya selesai semalam.

Beliau berkata, 13 pegawai dan beberapa orang awam yang terlibat dalam operasi itu telah dirakam percakapan.

”Siasatan yang merangkumi segala aspek termasuk prosedur operasi standard, kelemahan dan kekuatan serta situasi insiden yang berlaku itu diketuai oleh pegawai kanan ibu pejabat JBPM Putrajaya yang turut melibatkan pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bekas Ketua Pengarah JBPM Wan Mohd Nor Ibrahim serta orang ramai berjumlah RM12,450 kepada balu Mohd Diya, Noraida Che Nor, 39, di rumahnya semalam.

Mohd Diya yang berusia 46 tahun mempunyai empat orang anak, iaitu Muhammad Daniel Hakimie, 18, Nurul Ain Balqis, 16, Muhamad Danish Hakim, 12, dan Nurul Anisah Ilya, 9.

Pada 20 Okt lepas, Mohd Diya yang merupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Insiden pada kira-kira 5 petang itu berlaku semasa beliau yang sedang memasang tali bagi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap, tergelincir akibat ditolak arus deras dan paras air yang meningkat dengan mendadak.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada 21 Okt lepas ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.