
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azman Abdullah dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi esok, lapor Bernama.
Perbicaraan bermula pada 29 Jan 2018 dengan pendakwaan mengemukakan 31 saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang juga penuntut UPNM, yang memberi keterangan telah melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa.
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 tertuduh yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri dituduh membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh. Mereka menghadapi hukuman mati mandatori bagi kesalahan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Dua belas lagi tertuduh itu adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.
Mereka menghadapi hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan bagi tuduhan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.
Prosiding bela diri yang bermula 2 Okt 2019 berakhir selepas pembelaan menutup kesnya pada 8 April lepas.
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi, manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, M Ramachelvam dan Hazizah Kassim.