Jualan bir di kedai serbaneka hanya hingga 9 malam

Jualan bir di kedai serbaneka hanya hingga 9 malam

Perkara itu dinyatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebagai syarat baharu untuk permohonan lesen minuman keras.

PETALING JAYA:
Penjualan bir di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur kini hanya dibenarkan sehingga 9 malam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu sebagai syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK) dan pelanggan masih boleh membeli bir di premis tersebut yang hanya boleh dijual bermula jam 7 pagi.

Katanya, larangan yang diumumkan November lalu dan sepatutnya bermula pada 1 Okt, digantung sementara untuk kajian yang dijalankan DBKL.

“Had masa yang ditetapkan ialah 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi Rumah Awam Kelas 1 (pub, bar, lounge, restoran); pemborong (7 pagi hingga 9 malam); peruncit (7 pagi hingga 9 malam) dan lesen sementara mengikut kelulusan dibenarkan berdasarkan Peraturan-Peraturan Eksais (Penjualan Liquor) 1977 Akta Eksais 1976.

“Pemilik premis perniagaan yang menjual bir hendaklah memastikan premis tidak boleh berhadapan atau dalam lingkungan jarak 100m dari Balai Polis, rumah ibadat, sekolah, hospital dan rumah kediaman.

“(Mereka juga) mesti mempamerkan lesen sepanjang masa serta mempamerkan kod QR di pintu masuk premis dengan tanda biru iaitu boleh dihidangkan di premis perniagaan dan kuning (boleh dibawa pulang sahaja),” katanya.

Katanya lagi, pemohon atau pemegang LMK hanya dibenarkan kepada orang bukan beragama Islam. Pemilik premis perniagaan sama ada tunggal atau perkongsian serta majoriti Ahli Lembaga Pengarah (Syarikat) mestilah terdiri daripada orang bukan beragama Islam.

Jelasnya, pemilik hendaklah memastikan tiada pengunjung berumur bawah 21 tahun dan tiada pengunjung beragama Islam meminum minuman keras.

“Papan kenyataan mengenai larangan ini hendaklah dipamerkan di hadapan pintu masuk premis. Bagi permohonan pembaharuan LMK, pemohon WAJIB memperbaharui lesen premis dahulu serta mengemukakan lesen premis yang sah tempoh.

“Permohonan yang lengkap perlu dikemukakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tempoh lesen tamat. Penjualan bir di dalam bentuk ‘sachet’ adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Bagi tambahan kepada syarat LMK, pemilik perlu menyediakan ruang penjualan atau pameran khas bagi bir berasingan dari minuman lain serta mengunci ruang penjualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan.

“Jenis aktiviti perniagaan yang dimestikan mendapat LMK ialah pub, bar, ‘lounge’ yang menjual atau menghidangkan bir; restoran yang menjual/menghidangkan bir; gudang/stor yang menjual/membekal bir dan acara atau promosi atau program yang menghidangkan bir.

“Bagi jenis LMK dan premis perniagaan yang dibenarkan ialah Rumah Awam Kelas 1 (pub/bar/lounge/restoran); rumah kedai, hotel, kompleks perdagangan/beli-belah dan pemborong.

” Gudang, stor, rumah kedai, kompleks perdagangan atau beli-belah, kedai runcit, pasar raya atau pasar raya besar, kompleks perdagangan kompleks beli-belah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.