
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi, berkata harga jualan yang lebih rendah itu adalah inisiatif pengusaha pasar raya tersebut namun, penentuan harga siling baharu akan diumumkan bulan ini selepas mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.
Sebelum ini, harga runcit maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga RM19.90 seunit atau RM16 seunit bagi harga borong.
“Malah, ia juga pernah dijual pada harga RM30 atau lebih sehingga RM40 seunit. Kita akan terus turunkan (kit ujian Covid-19) ke satu tahap. Kita akan umumkan harga baharu dalam tempoh terdekat kemungkinan bulan ini.
“Buat masa sekarang kita mesti pantau dan teliti secara menyeluruh supaya kita berlaku adil kepada semua pihak… pengguna dan juga peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di bawah paras RM10 seunit dan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 di Gateway @ klia2, Sepang.
Sempena pelancaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 itu juga, KK Supermart menawarkan harga serendah RM6.60 seunit pada hari ini berbanding harga jualan biasa RM6.90 seunit.
Justeru, Nanta menggalakkan semua premis perniagaan turut mengikuti jejak rangkaian kedai serbaneka berkenaan dengan menjualnya pada harga lebih kompetitif tanpa perlu merujuk kepada sebarang penentuan paras harga yang baharu.
“Melalui perluasan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 ini, KPDNHEP mengambil maklum bahawa harga seunit yang ditawarkan oleh pasaraya dan kedai serbaneka adalah serendah RM6.90. Ini tentunya satu berita yang sangat baik pada pengguna pada situasi hari ini,” katanya.
Sehingga 28 Okt, sebanyak 2,570 premis perniagaan kategori pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak diberi kelulusan untuk menjual kit ujian kendiri jenis RTK Antigen.