Bukan isu pun, benda tak patut jadi kontroversi, kata Ramkarpal

Bukan isu pun, benda tak patut jadi kontroversi, kata Ramkarpal

Katanya, kontroversi isu Timah tidak patut berlaku malah menunjukkan kejahilan kerajaan.

Ramkarpal Singh kesal pembuat minuman keras itu kini mempertimbangkan untuk menukar nama produk berkenaan selepas tekanan pelbagai pihak.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mendidik mereka yang menerima maklumat salah, bukannya terus menyumbang kepada kontroversi “Timah”, kata Ramkarpal Singh dari DAP.

Dalam kenyataan, Ramkarpal berkata kontroversi itu tidak patut berlaku malah menunjukkan kejahilan kerajaan, dengan sesuatu yang disifatkan sebagai sebenarnya bukan isu kini telah diperbesarkan.

“Amat malang apabila akibat isu itu, kini pembuat wiski itu mempertimbangkan mengubah nama produknya selepas dikenakan tekanan pelbagai pihak termasuk kementerian yang relevan,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak faham bagaimana minuman keras buatan Malaysia itu boleh mengakibatkan kekeliruan atau menyentuh sensitiviti agama kerana jelas berkaitan dengan industri perlombongan timah di Perak, malah orang yang wajahnya dipaparkan adalah pegawai British ketika era penjajahan kerajaan itu di Malaya.

“Memandangkan isu Timah begitu banyak diperkatakan baru-baru ini, selain pelbagai penjelasan menunjukkan ia tiada kaitan dengan agama, sukar untuk memahami bagaimana perkara ini boleh mengelirukan sesiapa.

“Jadi timbul juga persoalan, kenapa pembuatnya mempertimbangkan untuk menukar namanya.”

Ramkarpal berkata, tindakan menukar nama produk itu mungkin mengakibatkan segelintir pihak percaya ada kebenaran di sebalik retorik yang digembar-gemburkan kebelakangan ini.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap wiski buatan tempatan itu yang didakwa berbunyi seperti singkatan nama Fatimah, manakala gambar lelaki pada botolnya dianggap kelihatan seolah-olah seorang yang berkopiah.

Pembuat minuman keras itu, Winepak telah membayangkan perancangan menukar nama arak berkenaan susulan pertemuan dengan wakil pelbagai kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.