
Dalam satu kenyataan, Lim menuduh Najib dan Muhyiddin menggunakan program dan majlis sebagai ‘alasan’ untuk berkempen dan mengingatkan kementerian untuk tidak sekadar bercakap kosong dan mengambil tindakan sepatutnya.
Katanya, Najib meluangkan masa bersama penduduk nelayan di Tanjung Kling manakala Muhyiddin pula melawat dua inisiatif Gerak Prihatin Rakyat di negeri itu.
“Apa gunanya kementerian menempatkan pegawai di Melaka untuk memantau aktiviti pilihan raya negeri jika terdapatnya amalan ‘dua darjat’ untuk parti pemerintah dan parti pembangkang?
“Kementerian mesti mengambil tindakan segera terhadap Najib dan Muhyiddin atau hapuskan larangan itu.”
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa kementerian tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka.
Katanya, larangan yang akan berkuatkuasa 25 Okt hingga 27 Nov itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Bagaimanapun, Najib mempertahankan tindakannya sambil menjelaskan beliau berada di negeri bersejarah itu sebagai “pelancong” dan bukannya berkempen.