
Pengerusinya, William Ng mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kewangan atas bajet menyokong pertumbuhan yang akan menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh pemulihan pasca-pandemik Covid-19.
“Kami gembira kerajaan mengambil kira rayuan kami untuk memperkenalkan subsidi upah bagi pengambilan semula pekerja di bawah Jamin Kerja dengan subsidi sehingga 30%,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menyambut baik inisiatif SemarakNiaga untuk membantu PKS yang mengalami masalah aliran tunai, dengan mewujudkan ansuran bayaran cukai pendapatan korporat serta dana tambahan.
“Paling penting, kami lega kerana tiada cukai baharu yang dikenakan ke atas perniagaan ketika kebanyakan perniagaan sedang bergelut dan cuba bangkit semula.”
Tetapi, beliau kecewa cadangannya 30% pemerolehan kerajaan diperuntukkan kepada vendor PKS tiada dalam Bajet 2022.
“Memandangkan ini merupakan isu pentadbiran, kami masih berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan pada 2022.”
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 berkata, kerajaan menjamin 600,000 peluang pekerjaan di bawah Jamin Kerja yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion pada tahun depan.
Selain itu, pakej pembiayaan RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) disediakan bagi mengembalikan keupayaan perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal.