Peruntukan e-sukan: Badan berdaftar tak terlibat perbincangan teliti, kata Presiden

Peruntukan e-sukan: Badan berdaftar tak terlibat perbincangan teliti, kata Presiden

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia khuatir kerajaan mendapatkan nasihat daripada pihak yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Ananth S Nathan menggesa kerajaan mengkaji kewajaran mengembalikan peranan membangunkan industri lumayan itu kepada badan itu, dan menyokongnya sebagai badan sukan tertinggi untuk mengawal selia urus tadbir e-sukan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) kesal kerajaan masih tidak melibatkan ia dalam perbincangan teliti berkenaan pengagihan peruntukan e-sukan dalam Bajet 2022 dan belanjawan sebelum ini.

Presiden Ananth S Nathan berkata MESF selaku badan sukan kebangsaan yang berdaftar secara sah dan ahli bersekutu Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF) sepatutnya dilihat sebagai pemegang taruh utama sekiranya kerajaan mahu mendapatkan maklumat terperinci berkenaan e-sukan.

“MESF khuatir pihak kerajaan mendapat nasihat dan pandangan daripada hanya suatu pihak, mahupun dari pihak-pihak yang berkepentingan yang salah dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tanpa bertanggungjawab serta tidak serius terhadap keluarga besar e-sukan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Ananth menggesa kerajaan mengkaji kewajaran mengembalikan peranan membangunkan industri lumayan itu kepada MESF, dan menyokongnya sebagai badan sukan tertinggi untuk mengawal selia urus tadbir e-sukan.

“Sebagai ahli IESF, kredibiliti MESF tidak perlu dipertikaikan lagi, dan MESF sememangnya dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran, dan pengalaman dalam mengkoordinasikan rangka tindakan e-sukan Malaysia,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2022 semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-sukan kebangsaan.

MESF menyambut baik inisiatif berkenaan yang menunjukkan kerajaan serius memperkasakan industri itu.

“Suntikan kewangan ini tentu sekali dapat membantu untuk membangunkan E-sukan di peringkat masyarakat dan menambahbaik kemudahan dan platform yang amat diperlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.