
Bekas Ketua Menteri Sabah Salleh Said Keruak berkata, pengumuman Bajet 2022 semalam menunjukkan kesinambungan strategi kerajaan yang sama, tanpa mengira identiti parti.
“Dari BRIM-BSH-BPN-BKM, pada asasnya ianya bentuk bantuan tunai. Sememangnya kita mengalu-alukan bantuan sebegini.
“…tetapi kita berharap pelaksanaannya terus diperbaiki agar ia mencapai matlamat sebenar. Maksudnya, bantuan perlu sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” kata beliau yang juga bekas menteri persekutuan di Facebook.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022.
Belanjawan itu, yang dibentangkan ketika negara baru sahaja keluar daripada kawalan wabak yang sangat ketat dan dijajarkan dengan Rancangan Malaysia ke-12, adalah kira-kira RM9.6 bilion mengatasi RM322.5 bilion yang diperuntukkan bagi belanjawan tahun lepas.
Kira-kira RM233.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, dan RM23 bilion untuk Tabung Covid-19.