Pengecualian duti hiburan bantu industri kembali bangkit, kata Shahidan

Pengecualian duti hiburan bantu industri kembali bangkit, kata Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan sehingga 31 Dis juga mampu pulihkan sektor pelancongan.

Kementeriantetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, kata Shahidan Kassim.
PETALING JAYA:
Pengecualian duti hiburan terhadap aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di Wilayah Persekutuan akan membantu industri tersebut kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata, pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan sehingga 31 Dis ini juga mampu merancak dan memulihkan sektor pelancongan di ketiga-tiga wilayah.

“Bajet yang memberikan tumpuan kepada tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kehidupan rakyat Malaysia mengharungi pasca Covid-19.

“Meskipun KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan) tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan dari kerajaan persekutuan, namun kami tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam Bajet 2022 yang dibentangkan semalam, KWP turut menerima peruntukan sebanyak RM414.2 juta bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan yang merangkumi projek kerjasama awam-swasta (PPP) dan inisiatif kewangan swasta (PFI), membaik pulih jalan dan jambatan, baik pulih sungai, “sewerage non-river” (SWR) dan River of Life (ROL), selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

Manakala RM256.6 juta pula diperuntukkan sebagai peruntukan mengurus termasuklah bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan, pengurusan, selain program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara.

Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sejumlah RM65 juta bagi pembinaan sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.