
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata cukai keuntungan luar biasa itu “bukanlah langkah produktif” kerana ia boleh menjejaskan sentimen pelaburan asing.
Katanya, syarikat juga mungkin mengalihkan kenaikan cukai itu kepada pengguna.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan harus mengenakan cukai terhadap individu kaya menerusi cukai keuntungan modal.
“Kumpulan ini menikmati kekayaan yang tidak dikenakan sebarang cukai dalam tempoh yang cukup lama,” katanya.
Cukai keuntungan luar biasa terhadap syarikat antara yang diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2022 semalam.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata menerusi Cukai Makmur itu, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Seorang lagi ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata ambang pendapatan bercukai itu adalah terlalu rendah.
“Sebagai peraturan umum, cukai keuntungan luar biasa itu harus dielakkan. Ia tidak meningkatkan banyak hasil dan bertindak sebagai penghalang kepada perniagaan dan pelaburan,” katanya kepada FMT.
Williams berkata kemungkinan syarikat terbabit akan mencari cara untuk mengelakkan daripada membayar cukai itu dan tidak akan meningkatkan pelaburan mereka.
“RM100 juta adalah sekitar AS$24 juta atau 21 juta euro, yang mana bagi pelabur asing jumlahnya tidak begitu besar tetapi mereka tidak mahu dikenakan cukai yang banyak,” katanya.
Beliau berkata bajet itu tidak menggambarkan sebuah bajet untuk pertumbuhan dan pemulihan, “mahupun sebuah bajet pra-pilihan raya yang berkesan dan bersifat murah hati.”