Lagi kejadian ‘Karen’ tak pakai pelitup muka, polis minta saksi tampil

Lagi kejadian ‘Karen’ tak pakai pelitup muka, polis minta saksi tampil

Polis menyiasat video kejadian dikatakan berlaku di Bangsar Shopping Centre.

Petikan video yang dikongsikan di Twitter menunjukkan wanita tidak memakai pelitup muka itu di satu pusat beli-belah di Bangsar.
PETALING JAYA:
Polis Brickfields meminta saksi yang melihat kejadian kecoh di sebuah pusat beli-belah di Bangsar untuk tampil, susulan seorang wanita warga asing dilarang memasuki premis kerana tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menyiasat pelanggaran prosedur operasi standard Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988.

Dalam kenyataan hari ini, beliau merujuk kepada video berdurasi 20 saat yang tersebar di media sosial itu, yang menunjukkan wanita yang tidak memakai pelitup muka dipercayai warga asing berusia 51 tahun, bertegang urat dengan pengawal keselamatan sebelum beredar dalam keadaan marah.

Awal minggu ini, seorang wanita warga asing dilarang memasuki kedai Dior di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan dikecam pengguna media sosial selepas videonya membuat kecoh menjadi tular.

Warganet menggelarnya “Karen”, panggilan sering digunakan di Amerika Syarikat dan di internet bagi menggambarkan seseorang yang bersikap buruk, mementingkan diri, selain merasakan diri “istimewa” hanya kerana berkulit putih. Jolokan itu trending on Twitter di Malaysia awal minggu ini.

Dalam rakaman kejadian di KLCC itu, wanita berkenaan didengar mendakwa diugut kakitangan butik berkenaan.

Dia mendakwa dirinya disentuh, selain turut mendakwa ditolak apabila cuba masuk tanpa memakai pelitup muka. Pekerja lelaki itu didengar menafikan dakwaannya dalam video berkenaan.

Tidak jelas sama ada kejadian di Bangsar itu turut melibatkan wanita sama. Bagaimanapun, kenyataan polis itu menyebut video terbaru berkenaan yang dikongsikan di Twitter pada 11.30 malam tadi, bertajuk “Spotted the karen making another scene at BSC” (Karen dilihat lagi di BSC) dengan tanda pagar #KarenDior serta #KarenKLCC.

Ahmihizam meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi balai polis terdekat atau Balai Polis Brickfields di 03-2297 9222, atau hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.