
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata sejak tahun lepas, industri kreatif sektor paling terkesan serta menjejaskan ramai penggiat seni. Justeru, katanya, ia perlu dipulihkan bagi menjana pendapatan terutama dalam suasana norma baharu.
Beliau berkata bagi merealisasi hasrat itu, pemain dan pemegang taruh industri kreatif perlu menyusun semula gerakan mereka antaranya melalui persatuan selain lebih inovatif dalam menyajikan pelbagai persembahan dan program yang mampu menarik lebih ramai khalayak.
“Di Kelantan, seni Mak Yong kita buat inovasi, perubahan libatkan anak muda dan buat pertunjukan di Istana Budaya… tiket habis, begitu juga seni Boria di Pulau Pinang, ubah suai dengan anak muda mampu tarik pelancong dan ke luar negara.
“Filem seram seperti hantu di Thailand dan Korea Selatan terkenal, orang takut menonton, boleh pasarkan ke luar negara tetapi filem hantu di Malaysia cerita lawak.
“Kita lihat kembali bagaimana supaya suatu hari nanti, produk industri kreatif kita mampu bersaing di luar negara,” katanya dipetik Bernama di Kota Kinabalu, malam ini.
Zahidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Jabatan Penerangan Sabah yang turut dihadiri Pengarah Penerangan negeri Nadzerah Abdullah.
Beliau berharap semua warga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dapat menjunjung semangat kebersamaan dalam usaha memastikan Keluarga Malaysia tidak ketinggalan dalam gelombang pendigitalan negara.