
Beliau berkata, sebarang perhimpunan termasuk politik yang didapati berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan mengikut Akta 342.
“Akta 342 masih terpakai sama ada pilihan raya atau tidak, semua tempat terpakai. Bukan hanya di Melaka.
“Yang ada dalam Akta 342 itu masih terpakai yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kalau SOP yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu lain,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka.
Menurut Hamzah, selain parti politik, mana-mana kumpulan yang didapati melanggar SOP akan diambil tindakan.
Sementara itu, mengulas persiapan polis sepanjang PRN Melaka, Hamzah berkata, beberapa perancangan dibuat dalam menjamin keselamatan dan keselesaan mereka yang berada di Melaka.
“Turut dibincangkan bagaimana keanggotaan sama ada cukup atau tidak dan penggunaan dron selain terdapat agensi kerajaan lain yang akan bantu.
“Melihat persediaan untuk PRN dibuat oleh Kontinjen Melaka, ia dalam keadaan baik dan siap sedia” katanya.