
Mangsa yang juga pemain futsal, Sean Jayabalan dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya di pusat bandar, Selasa lalu, selepas tercampak keluar dari kenderaannya.
Bapanya, Jayabalan G Subbiah, berkata kakitangan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memaklumkan keluarganya bahawa proses bedah siasat tidak dapat dilakukan kerana Sean telah dijangkiti Covid-19.
Katanya, dia bingung dengan alasan itu memandangkan terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat pesakit Covid-19.
Bagaimanapun, dia menolak dakwaan bahawa anaknya itu dijangkiti Covid-19 kerana ujian yang diperolehi sebelum ini menunjukkan keputusan negatif.
“Dia telah lengkap vaksin dan sering menjalani ujian memandangkan dia adalah jurulatih kepada pemain kanak-kanak,” katanya.
“Keluarga kami berasa trauma dan bingung mengapa mereka enggan melakukan bedah siasat. Kami tidak dibenarkan untuk mengenal pasti mayatnya sebaliknya ia hanya boleh dilakukan menerusi gambar saja.”
Keluarga itu mendapat tahu mengenai kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada tunang anaknya pada jam 1 pagi Selasa lalu.
Selain itu, Jayabalan berkata polis telah memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh bagi meleraikan “segala perasaan syak wasangka” daripada keluarga mereka.
“Polis telah meminta supaya dilakukan bedah siasat namun hospital masih enggan berbuat demikian,” katanya.
FMT sedang cuba mendapatkan ulasan daripada HUKM berhubung perkara ini.