Terlalu banyak peruntukan untuk pihak berkuasa agama, kata pengkritik

Terlalu banyak peruntukan untuk pihak berkuasa agama, kata pengkritik

Bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail mempersoalkan rasional dan prestasi yang mewajarkan peruntukan RM1.5 bilion untuk pembangunan Islam.

Tawfik Ismail (kiri) dan Johan Ariffin Samad berkata, pihak berkuasa agama tidak melakukan secukupnya untuk memperbaiki toleransi atau menangani masalah sebenar.
PETALING JAYA:
Peruntukan tambahan RM100 juta dalam RM1.5 bilion yang disediakan untuk pengurusan dan pembangunan Islam dalam Bajet 2022 mengejutkan pengkritik kerana ia terlalu banyak untuk pihak berkuasa agama yang kurang berprestasi.

“Jumlah itu terlalu banyak untuk mereka”, kata bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail mengulas pembentangan bajet sambil menambah ia sama seperti tahun sebelumnya, di mana tidak jelas ke mana semua wang itu dibelanjakan dan apakah impak yang diharapkan kerajaan.

“Adakah wang itu hanya memberi manfaat kepada mereka di JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau adakah ia akan ditapis untuk manfaat seluruh negara?” soalnya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 berkata, akan ada fokus untuk mempromosikan ajaran Islam, dengan Jabatan Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri diperuntukkan tambahan RM100 juta berbanding yang diperolehi pada 2021.

Tawfik berkata, tahun lalu khususnya, pihak berkuasa agama tidak mempromosikan nilai Islam yang lebih positif secara berkesan, seperti belas kasihan, belas ihsan dan toleransi.

“Hakikatnya, kita melihat perkara sebaliknya, dalam keadaan lebih menindas dan menjejaskan perpaduan nasional.

“Lihatlah kekurangan tindakan terhadap (pendakwah kontroversi) Syakir Nasoha, atau tumpuan tidak perlu yang diberikan kepada isu arak Timah dan Nur Sajat. Ia tidak memberikan lebih keyakinan bahawa pihak berkuasa Islam telah mempromosikan aspek Islam ke arah yang lebih positif.”

Disebabkan perkara berkaitan agama yang sebahagian besarnya terletak di bawah bidang kuasa negeri, Tawfik turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa persekutuan memerlukan bajet begitu besar dan semakin bertambah.

Penganalisis dan ahli kumpulan bekas penjawat awam kanan G25, Johan Ariffin Samad berkata, masih tidak jelas apa sebenarnya yang dilakukan pihak berkuasa agama seperti JAKIM untuk mempromosi keharmonian.

“Kita melihat perpecahan agama semakin besar berlaku dalam negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pihak berkuasa tidak melakukan secukupnya untuk memupuk toleransi di negara ini atau memperbaiki hubungan antara agama.

“Ada isu sebenar di luar sana, seperti ibu tunggal beragama Islam yang bergelut mendapatkan bayaran nafkah, kesaksamaan jantina, sikap tidak bertoleransi. Ia jauh lebih penting daripada pembangunan Islam, namun hanya sedikit yang dilakukan.

“Saya bimbang dengan (Jabatan Hal Ehwal Agama) mempunyai bajet begitu besar, sama ada ia akan dibelanjakan dengan bijak bagi menangani masalah sebenar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.