Belasah penghantar makanan, seorang ditahan, 7 diburu

Belasah penghantar makanan, seorang ditahan, 7 diburu

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata dalam kejadian 20 Okt lalu, dua penghantar makanan dibelasah lapan lelaki yang dipercayai mabuk.

Dua penghantar makanan dibelasah lapan lelaki di luar sebuah pusat hiburan di Cyber City, Kota Kinabalu. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Seorang lelaki ditahan manakala tujuh lagi diburu polis selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Cyber City, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kejadian 3 pagi 20 Okt lalu, dua lelaki berusia 19 tahun dibelasah lapan lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dibelasah termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

“Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada dua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang-memandang ketika berada di pusat hiburan berkenaan.

“Bagaimanapun pergaduhan hanya berlaku di luar premis hiburan berkenaan apabila lapan suspek bertindak menarik salah seorang mangsa dan terus membelasahnya.

“Kejadian itu disedari rakan mangsa yang kemudian cuba membantu namun dia turut dibelasah kumpulan suspek,” katanya ketika dihubungi.

Zaidi berkata, pergaduhan itu berakhir apabila kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, semua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga warna kelabu namun mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan itu.

Katanya, kedua-dua mangsa selepas itu mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Tiada kecederaan serius dialami kedua-dua mangsa dan siasatan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian manakala usaha mengenal pasti semua suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.