
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bawah payung pembangunan Bumiputera.
Daripada jumlah itu, RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan buat anak Bumiputera antaranya bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju.
“Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan,” katanya.
Manakala, sebanyak RM4.8 bilion pula untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.
“Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun hingga 31 Dis 2025.
Beliau berkata, RM200 juta disediakan bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek berskala kecil perolehan kerajaan.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata aspek pengimarahan syiar Islam juga menjadi tumpuan dengan kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam bawah Jabatan Perdana Menteri.
Antara lain sekolah menengah agama akan dibina bawah payung pendidikan Islam, Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM65 juta.
Skop pengajaran Takmir bawah JAKIM kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat diperkasakan dengan menambah 1,000 orang guru Takmir, katanya.