Bajet 2022: Polis diperkasa lindungi wanita daripada kerakusan

Bajet 2022: Polis diperkasa lindungi wanita daripada kerakusan

Turut diumumkan bantuan untuk wanita terjejas akibat Covid-19.

Kerajaan bersedia memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengumumkan pelbagai insentif untuk memperkasa kaum wanita dan melindungi mereka daripada kerakusan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat wabak Covid-19 serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sejumlah RM230 juta dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program DANANITA bawah MARA dan TEKUNITA bawah TEKUN.

Katanya, kerajaan juga bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan khusus untuk memerangi “kerakusan” terhadap wanita.

“Kerajaan bersedia untuk memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak.

“Ini termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu,” katanya.

Beliau menegaskan, aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah.

Tengku Zafrul berkata, 130,000 remaja wanita daripada keluarga B40 tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan.

Oleh itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40.

Beliau juga berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

Cadangan itu dijangka berkuat kuasa 1 Sept 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Tengku Zafrul berkata, golongan wanita setakat ini memegang 25% daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.

“Namun masih terdapat 27% atau 252 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita,” katanya.

Beliau berkata, wanita, jika diberi peluang dan ruang, boleh menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.